Kalau kelapa digelar buah seribu guna, buah mengkudu pula digelar penawar terbaik oleh kelompok saintis seluruh dunia.Mengkudu atau nama saintifiknya Morinda citrifolia mempunyai rasa dan bau yang meloyakan. Namun disebalik bau yang kurang menyenangkan, khasiatnya sungguh menakjubkan. Baik dari segi perubatan moden mahupun tradisional, terutamanya penduduk negara tropika seluruh dunia.
Kajian University Hawaii, Honolulu, Amerika Syarikat mendapati buah mengkudu sangat berkesan merawat masalah berat badan, kulit dan rambut. Ia juga kaya dengan polisakarida sebagai anti tumor, merawat masalah strok, kanser,athritis, tekanan darah tinggi, kesakitan yang kronik, penyakit jantung, kencing manis dan pelbagai masalah yang membabitkan sistem tubuh manusia.
Masyarakat Melayu sendiri menggunakan daunnya untuk menjadi pelapik tungku yang digunakan oleh ibu-ibu ketika dalam pantang. Daun yang terkena haba tungku yang panas dikatakan mengeluarkan sejenis aroma dan khasiat istimewa yang membantu merangsang pemulihan rahim dan menegangkan semula kulit perut yang kendur dan menggeleber selepas melahirkan anak.
Dinegara seperti Polynesia, Samoa, Tonga, Kepulauan Marguesas dan Hawaii, buah mengkudu memang menjadi pemakanan kesihatan. Sewaktu perang dunia kedua askar yang berpengkalan di Kepualauan Polynesia diajar memakan buah mengkudu oleh masyarakat pribumi pulau itu bertujuan meningkatkan tahap kesihatan mereka.
Begitu juga dengan penduduk Raratonga dan Fiji, mereka memakan buah mengkudu dengan garam seperti memakan buah asam saja.
Sementara diTahiti, pokok mengkudu sengaja ditanam bagi menyerikan lanskap pulau kerana pokoknya rendang dan sederhana tinggi dengan hanya diantara 4.5 dan 6 meter itu memberikan pemandangan yang cukup cantik dan indah.
Biasanya mengkudu berbuah sepanjang tahun. Buahnya yang matang berukuran hampir sama dengan sebiji kentang. Buah muda berwarna hijau terang manakala berwarna putih kekuningan apabila cukup ranum.
Masyarakat Tahiti biasanya akan memetik buah yang hampir masak bagi mengelakkan ia meranum dipokok dan pecah apabila gugur ke bumi.
Ia kemudian disimpan didalam sebuah balang khas dan didedahkan kepada cahaya matahari.Apabila cukup ranum, puri dan jusnya diambil bagi tujuan merawati masalah ketegangan.
Dari aspek perubatan moden, mengkudu didapati kaya dengan Proxeronine, sejenis alkoloid yang digunakan oleh tubuh bagi memulih dan menguatkan sel-sel. Dr.R M Heinicke juga menjumpai kandungan Xeronine yang rendah didalam buah mengkudu. Bahan ini gunanya mengaktifkan pengeluaran Proxeronine.
Selain itu, ada juga kandungan enzim yang mencergaskan pro-xeronine yang kemudiannya akan saling bekerjasama dan menghasilkan sejenis protin yang fungsinya berbeza kepada sel-sel.
Xeronine tugasnya membaik pulih sel yang rosak.
Begitulah keunikan buah mengkudu walaupun ia dikenali dengan banyak nama seperti Noni oleh penduduk Hawaii dan Kepuluan Marguesas, Nono (Samoa dan Tonga), Nonu (Kepulauan Pasifik Selatan) tetapi bangsa Perancis di Polynesia memberikan namanya Morinda citrifolia.