TUMBUH-TUMBUHAN DALAM PERUBATAN TRADISIONAL

Mengkudu besar juga banyak digunakan dalam perubatan tradisional khususnya di negara Asia Tenggara.Nama botani bagi mengkudu besar ialah Morinda citrifolia Linnaeus . Pokok mengkudu besar tumbuh secara semulajadi di kawasan lapang, terutamanya di Asia Tenggara. Dikatakan spesis ini berasal dari Quueensland di Australia dan tersebar ke kawasan lain hasil tanaman manusia dan tumbuh secara semulajadi dibawa ombak laut. Ketinggian pokok ini boleh mencapai 6 meter. Bahagian batang kayunya pendek dan bahagian silaranya pula berbentuk bujur telur, meruncing ke atas. Kulit kayunya pula berwarna cerah manakala daunnya berwarna hijau tua. Buahnya berbentuk bujur seperti buah pir, berbintik-bintik,semasa muda berwarna hijau dan bertukar jadi putih kuning apabila masak dan mengandungi banyak biji.

Seperti juga tumbuhan lain, khasiat perubatan mengkudu besar amat banyak. Bagi penduduk di Semenanjung Malaysia, mereka menanam pokok mengkudu besar sebagai ubatan. Buah yang sangat masak dimakan sebagai perangsang aliran haid dan ubat kencing manis. Sementara itu, air perahan buahnya diminum sebagai ubat penawar sengugut dan sakit otot, sakit semasa buang air kecil dan air besar. Bagi mendapatkan kulit yang lembut, air buah disapu pada kulit dan buah juga boleh dimakan bersama bahan lain untuk mengubati penyakit limpa, penyakit hati , beri-beri, pendarahan dan batuk-batuk.

Di Jawa pula, isi buah mengkudu besar diasingkan dengan bijinya , dihancurkan bersama gula dan dicampur air dan jusnya ini kemudian diminum sebagai perangsang buang air besar. Air rebusan kulit kayu pokok ini digunakan sebagai ubat demam panas , demam mengigil dan demam malaria. Kulit kayu juga dijadikan sejenis tonik dan antiseptik untuk masalah kulit seperti kudis, luka-luka dan ulser. Selain itu , daun dipanaskan dan diletak atas badan sebagai ubat batuk-batuk, bengkak limpa, demam panas dan sakit perut. Sementara air rebusan daun diminum sebagai ubat cirit-birit, disentri, muntah-muntah, kolik, sawan dan tonik. Akar, daun dan buah pula digunakan untuk membunuh cacing dalam perut.